Jantung saya berdebar-debar, saya sedang menunggu telefon berdering dan permulaan bicarawara melalui radio. Saya tertanya-tanya akan jenis soalan yang bakal dikemukakan oleh pengacara dan respons saya. “Tuhan, saya lebih pandai menulis tetapi bukan berkata-kata,” saya berdoa. “Namun saya berasa keadaan sekarang sama dengan Musa—saya perlu percaya bahawa Engkau akan memberikan hikmat kepada saya untuk bercakap.”

Sudah tentunya saya tidak membandingkan diri saya dengan Musa, pemimpin umat Tuhan yang menolong mereka keluar daripada perhambaan di Mesir untuk hidup di Tanah Perjanjian. Sebagai seorang pemimpin yang tidak yakin diri, Musa memerlukan Tuhan untuk meyakinkannya bahawa orang Israel akan mendengarnya. TUHAN telah menunjukkan beberapa tanda kepadanya, seperti mengubah tongkatnya menjadi ular (Keluaran 4:3), namun Musa teragak-agak untuk mengambil tanggungjawab kepimpinan dengan alasan bahawa dia tidak pandai untuk berkata-kata (ayat 10). Maka Tuhan mengingatkannya bahawa Dia ialah Tuhan dan Dia akan menolongnya untuk bercakap. Tuhan akan “menyertai dia dalam perkataan” (seperti diterjemahkan daripada bahasa asal, menurut sarjana-sarjana Alkitab).

Kita tahu bahawa sejak kehadiran Roh Kudus pada hari Pentakosta, Roh Tuhan tinggal dalam anak-anak-Nya. Walaupun kita berasa tidak berdaya, Dia akan memampukan kita menjalankan tanggungjawab yang diberikan-Nya. Tuhan akan “menyertai kita dalam perkataan.”