Seorang budak kecil berumur lapan tahun memberitahu Wally, iaitu rakan kepada ibu bapanya, “Saya mencintai Yesus dan mahu melayani Tuhan di luar negara pada suatu hari nanti.” Selama lebih daripada 10 tahun, Wally berdoa untuknya sementara melihatnya membesar. Apabila pemuda ini kemudiannya memohon di agensi misi untuk pergi ke Mali di Afrika Barat, Wally berkata kepadanya, “Ini berkenaan dengan masa! Sewaktu saya mendengar apa yang hendak kamu lakukan, saya melaburkan sejumlah wang dan menyimpannya untuk kamu, sambil menunggu berita yang menggembirakan ini.” Wally mengambil berat terhadap penyelamatan orang lain dan mahu menyampaikan Berita Baik Tuhan kepada mereka.

Yesus dan para pengikut-Nya memerlukan sokongan kewangan ketika mereka menjelajah kota dan kampung untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang kerajaan Tuhan (Lukas 8:1–3). Sekumpulan wanita yang telah dibebaskan daripada roh jahat juga disembuhkan daripada penyakit telah membantu Yesus dan para pengikut-Nya “dengan menggunakan harta mereka” (ayat 3). Salah seorang daripada mereka ialah Maria yang disebut Magdalena, tujuh roh jahat sudah diusir daripada dirinya. Seorang lagi ialah Yohana, isteri kepada seorang pegawai istana Herodes. Tiada yang diketahui tentang Susana dan “banyak lagi wanita lain” (ayat 3), tetapi kita tahu bahawa Yesus telah memenuhi keperluan rohani mereka. Sekarang mereka menolong Dia dan pengikut-pengikut-Nya dengan memberikan sumber kewangan mereka.

Apabila kita mempertimbangkan apa yang sudah dilakukan Yesus bagi kita, kita akan turut berbelas kasihan kepada orang lain seperti Dia berbelas kasihan kepada mereka. Mari kita bertanya kepada Tuhan bagaimana Dia mahu memakai kita.