Anak lelaki dan menantu perempuan kami menghadapi kecemasan. Cucu kami yang bernama Cameron sedang menderita sakit pneumonia dan bronkitis dan perlu dihantar ke hospital dengan segera. Mereka meminta kami supaya mengambil Nathan, anak mereka yang berumur lima tahun dari sekolah dan membawanya pulang ke rumah. Saya dan isteri saya, Marlene sudi melakukannya.

Apabila Nathan masuk ke dalam kereta, Marlene bertanya, “Adakah kamu terkejut kerana kami yang mengambil kamu hari ini?” Dia menjawab, “Tidak!” Apabila kami bertanya mengapa, dia menjawab, “Kerana saya mengetahui semuanya!”

Seorang budak lima tahun mengatakan bahawa dia tahu semuanya, tetapi kita yang lebih tua mengetahui lebih banyak. Kita sering kali mempunyai lebih banyak soalan berbanding jawapan. Kita hairan tentang beberepa persoalan tentang kenapa, bila, dan bagaimana dalam kehidupan—dan selalu terlupa bahawa meskipun kita tidak mengetahui semuanya, kita tahu bahawa Tuhan pasti mengetahui semuanya.

Mazmur 139:1 dan 3 berkata tentang Tuhan kita yang Maha Tahu, Dia memahami kita dengan menyeluruh serta mendalam. Daud berkata, “Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku … Engkau melihat aku, sama ada aku sedang bekerja ataupun berehat; Engkau mengetahui segala perbuatanku.” Betapa leganya apabila mengetahui bahawa Tuhan mengasihi kita dengan sempurna, menyedari apa yang akan kita hadapi hari ini dengan sepenuhnya, Dia juga mengetahui cara terbaik untuk membantu kita dalam setiap keadaan hidup.

Pengetahuan kita selalunya terhad, tetapi mengenali Tuhan adalah hal yang paling penting. Kita boleh mempercayai-Nya.