Roda yang berkeriut mendapat minyak” ialah peribahasa bahasa Inggeris yang popular. Sewaktu saya masih kecil, saya menunggang basikal untuk jarak yang jauh antara rumah dan sekolah, bunyi tajam roda menarik perhatian saya akan keperluan untuk melincirkannya.
Dalam Lukas 18, seruan berterusan seorang balu kepada hakim untuk mendapatkan keadilan terhadap musuhnya membuat dia seperti bunyi “roda yang berkeriut,” sehingga dia mendapat keadilan yang diperlunya. Lukas menjelaskan bahawa Yesus menyampaikan cerita ini untuk mengajar kita agar kita terus berdoa dan tidak berputus asa, walaupun jawapan untuk doa kita kelihatan tertangguh (ayat 1-5).
Tuhan sudah pastinya bukan seorang hakim yang tidak adil dan mesti diganggu sebelum Dia menjawab kita. Dia adalah Bapa kita yang penyayang. Dia mengambil berat tentang kita, serta mendengar seruan minta pertolongan kita. Doa yang berterusan dan biasa dibuat menarik kita lebih dekat kepada-Nya. Kita mungkin seperti roda yang berkeriut, tetapi Tuhan mengalu-alukan doa kita dan menggalakkan kita mendekati-Nya dengan seruan kita. Dia mendengar kita dan akan membantu kita dengan cara yang tidak dijangkakan.
Seperti Yesus mengajar di dalam Matius 6:5-8, doa yang berterusan tidak perlu mengulangi “banyak kata yang tidak bererti” dalam tempoh yang panjang. Sebaliknya, sewaktu kita membawa keperluan kita di hadapan Tuhan “siang malam” (Lukas 18:7) dan berjalan bersama dengan Dia yang mengetahui keperluan kita, kita belajar mempercayai Tuhan dan menunggu dengan sabar bagi jawapan-Nya.