Pada satu petang Ogos di Vermont, seorang penginjil muda bercakap di gereja kecil kami. Negara yang dilayani oleh dia dan isterinya sering diancam rusuhan agama, malah dianggap terlalu bahaya bagi kanak-kanak. Dalam salah satu ceritanya, dia memberitahu tentang suatu kejadian yang menyayat hati apabila anak perempuannya merayu agar dia tidak ditinggalkan di sebuah sekolah berasrama penuh.

Ketika itu, saya baru menjadi seorang ayah dengan dikurniakan seorang anak perempuan, dan cerita itu mengecewakan saya. Bagaimanakah mungkin ibu bapa yang penyayang boleh meninggalkan anak perempuan mereka seperti itu? Saya merungut kepada diri sendiri. Pada masa perkongsian itu selesai, saya naik geram sehingga saya menolak tawaran untuk bersekutu dengan penginjil itu. Saya meluru keluar dari gereja, malah berkata dengan kuat sambil pergi: “Mujurnya saya tidak seperti … .”

Dengan segera, Roh Kudus menghentikan kata-kata saya. Saya tidak pun dapat menghabiskan ayat itu. Saat itu saya hampir mengucapkan perkataan yang diucap oleh orang Farisi kepada Tuhan: “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah kerana aku tidak seperti orang lain…” (Lukas 18:11). Saya begitu kecewa terhadap diri saya sendiri! Saya pasti Tuhan juga amat kecewa! Sejak malam itu, saya memohon kepada Tuhan untuk menolong saya mendengar orang lain dengan rendah hati dan sabar ketika mereka mencurahkan isi hati mereka dalam pengakuan, pernyataan, atau kesakitan.