Apabila Taufan Katrina menuju pantai Mississippi, seorang pastor yang bersara dan isterinya meninggalkan rumah mereka untuk pergi ke tempat perlindungan. Anak perempuan mereka merayu agar mereka pergi ke Atlanta supaya dia boleh menjaga mereka, tetapi pasangan itu tidak dapat mengeluarkan wang untuk perjalanan itu kerana semua bank telah tertutup. Selepas ribut berlalu, mereka kembali ke rumah mereka untuk mendapatkan sedikit barang, dan hanya dapat menyelamatkan beberapa keping gambar keluarga yang terapung di air. Kemudian, apabila pastor itu mengeluarkan foto ayahnya daripada bingkai gambar agar ia boleh kering, $366 terjatuh—jumlah yang tepat untuk membeli dua tiket penerbangan ke Atlanta. Mereka belajar bahawa mereka boleh mempercayai Yesus untuk apa pun yang diperlukan mereka.

Bagi para pengikut, mempercayai Yesus dalam ribut adalah kurikulum untuk hari itu, dan ia dapat dibaca melalui naratif yang dramatik dalam Markus 4:35-41. Yesus mengarahkan para pengikut-Nya menyeberang ke sebelah Laut Galilea, kemudian Dia pergi tidur di dalam perahu. Apabila ribut kencang mula bertiup, para pengikut menjadi basah kuyup, serta berasa takut dan khuatir kerana air ombak yang bergelora. Mereka membangunkan Yesus lalu berkata, “Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!” (ayat 38). Yesus berdiri dan mengatakan dua perkataan, “Diam! Tenanglah!” Dia meredakan ribut.

Kita semua mengalami ribut—penganiayaan, masalah kewangan, penyakit, kekecewaan, kesepian—dan Yesus tidak selalu menghalang segala hal ini. Tetapi Dia berjanji bahawa Dia tidak akan membiarkan atau meninggalkan kita (Ibrani 13:5). Dia menenangkan kita dalam ribut.