Saya telah disalahkan kerana banyak perkara, dan memang begitu. Dosa saya, kegagalan dan ketidakcekapan telah mendatangkan kesedihan, kekhuatiran dan kesulitan kepada kawan-kawan dan keluarga (bahkan terhadap orang yang tidak dikenali). Saya juga telah disalahkan atas perkara-perkara yang bukan salah saya, perkara yang saya tidak berdaya untuk berubah.

Tetapi kini saya pula berdiri di sebelah lain untuk melemparkan tuduhan terhadap orang lain. Kalaulah mereka melakukan sesuatu yang berbeza, saya memberitahu diri saya sendiri, saya tidak mungkin berada dalam keadaan yang kucar-kacir sekarang ini. Tuduhan menyakitkan. Jadi sama ada bersalah atau tidak, kita membuang banyak masa dan tenaga mental untuk cuba mencari orang lain agar mereka memikul kesalahan ini.

Yesus menawarkan kita cara yang lebih baik untuk menangani tuduhan. Walaupun Dia tidak bersalah, Dia mengambil dosa dunia dan menghapuskannya (Yohanes 1:29). Kita sering merujuk Yesus sebagai domba yang dikorbankan, tetapi Dia juga ialah kambing hitam terakhir bagi segala sesuatu yang salah dengan dunia ini (Imamat 16:10).

Apabila kita mengakui dosa kita dan menerima tawaran Kristus yang menghapuskan dosa, kita tidak lagi perlu mengangkat beban kesalahan kita. Kita boleh berhenti menyalahkan orang lain dan berhenti untuk menerima tuduhan orang lain yang melakukan perkara yang sama.

Syukur kepada Yesus, kita boleh berhenti daripada tuduh-menuduh.