Apabila Roger Ebert, seorang pengkritik filem serta pemenang hadiah Pulitzer meninggal dunia, rakan wartawannya menulis: “Walaupun dia memiliki segala kemasyhuran, kehormatan, wawancara eksklusif serta pertemuan dengan ramai bintang filem dan pelakon yang terhebat, Ebert tidak pernah lupa tujuan asasnya—mengulas filem, dengan semangat yang mendalam dan intelek yang sentiasa ingin memahami” (Dennis King, The Oklahoman).

Rasul Paulus tidak pernah melupakan tujuan asas tentang apa yang dikehendaki Tuhan bagi kita lakukan. Tumpuan dan semangat meluap-luap dalam hatinya melalui hubungannya dengan Kristus. Sama ada dia berhujah dengan ahli-ahli falsafah di Atena, kapal yang dinaikinya karam di Mediteranean, atau dirantai oleh tentera Roma dalam penjara, dia tertumpu pada panggilan untuk “mengenal Kristus dan mengalami kuasa yang membangkitkan Dia daripada kematian, turut menderita dengan Dia,” dan untuk mengajar orang lain tentang Dia (Filipi 3:10).

Ketika dia dipenjarakan, Paulus menulis kepada jemaah di Filipi, “Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus” (3:13-14). Apa sahaja suasananya, Paulus terus-menerus melangkah ke hadapan kerana panggilannya sebagai pengikut Yesus Kristus.

Semoga kita sentiasa mengingati tujuan asal, hati, siapa dan apa yang kita dipanggil untuk lakukan sebagai pengikut Yesus.