Ibu bapa itu memang kelihatan keletihan sekali kerana mereka harus mengheret dua orang anak mereka yang kecil dan bertenaga ke lapangan terbang dan kemudian menaiki kapal terbang. Namun sekarang penerbangan terakhir mereka ditunda. Sementara saya memerhatikan dua orang anak itu berlari-lari di kawasan pintu yang sesak, saya tertanya-tanya bagaimana Si ibu dan Si ayah dapat menenangkan kanak-kanak mereka dalam penerbangan kami selama setengah jam pergi ke Grand Rapids nanti. Akhirnya ketika kami menaiki kapal terbang, saya mendapati bahawa bapa itu dan salah seorang anaknya duduk di belakang saya. Kemudian saya mendengar bapa yang keletihan itu berkata kepada anaknya, “Biarlah ayah bacakan buku cerita untuk kamu.” Sepanjang penerbangan itu, bapa yang penyayang itu telah membacakan buku cerita kepada anaknya dengan lembut dan sabar, dan anaknya duduk diam dan memberikan tumpuan.
Dalam salah satu mazmurnya, Daud mengisytiharkan, “Seperti seorang bapa mengasihani anak-anaknya, begitulah Tuhan mengasihani orang yang menghormati-Nya” (Mazmur 103:13). Perkataan mengasihani bermaksud menunjukkan kasih dan belas kasihan. Kata yang lembut ini memberikan kita suatu gambaran bahawa betapa dalamnya kasih Bapa syurgawi kita kepada anak-anak-Nya, dan ia mengingatkan kita bahawa ia adalah suatu kurnia yang besar kepada kita kerana kita dapat melihat Tuhan dan memanggil, “Bapa, ya Bapaku” (Roma 8:15).
Tuhan inginkan anda mendengar lagi kisah kasih-Nya kepada anda apabila anda resah dalam perjalanan hidup. Bapa syurgawi anda sentiasa berada di sisi anda, bersiap sedia untuk menggalakkan anda dengan firman-Nya.