Selepas bekas atlet profesional Chris Sanders tercedera sehingga mengakhiri kerjayanya, dia memberitahu sekumpulan veteran tentera bahawa walaupun dia tidak pernah mengalami pertempuran, “Saya memahami tekanan daripada perubahan.”

Sama ada anda mengalami kehilangan kerja, perkahwinan, penyakit yang serius atau kesukaran dalam kewangan, setiap perubahan besar membawa cabaran. Bekas atlet itu memberitahu askar-askar bahawa kunci mencapai kejayaan ketika anda sedang berubah kepada satu cara hidup baru adalah menjangkau dan mendapatkan bantuan.

Kitab Yosua adalah kitab yang dicadangkan untuk dibaca pada masa kita mendapati diri kita berada dalam peralihan. Selepas mengembara dan mengalami kegagalan selama 40 tahun, umat Tuhan disiapkan untuk masuk ke Tanah yang Dijanjikan. Musa, pemimpin agung mereka telah meninggal dunia dan Yosua, penolongnya, menggantikannya.

Tuhan berkata kepada Yosua “Hendaklah engkau yakin dan berani, dan pastikanlah supaya engkau mentaati seluruh Taurat yang diberikan oleh hamba-Ku, Musa kepadamu. Jangan lalaikan mana-mana bahagian Taurat itu, supaya engkau berjaya ke mana pun engkau pergi” (Yosua 1:7). Kata-kata arahan Tuhan telah menjadi asas bagi kepemimpinan Yosua dalam segala keadaan.

Kita juga boleh mengamalkan arahan dan janji Tuhan kepada Yosua dalam kehidupan: “Ingatlah perintah-Ku kepadamu supaya engkau yakin dan berani! Jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi” (ayat 9).

Dia menyertai kita dalam setiap perubahan!