Bertahun-tahun yang lalu semasa menghadiri kelas keselamatan air, kami diajar cara menyelamatkan orang yang sedang lemas dan enggan diselamatkan. “Dekati orang itu dari belakang,” jurulatih itu memberitahu kami. “Letakkan satu tangan pada dada dan tangan orang yang menggapai-gapai itu, serta berenang menuju tempat selamat. Jika anda mendekati mereka dari depan, orang itu mungkin akan menyambar anda dan menarik kedua-dua anda sekaligus ke dalam air.” Rasa panik dan ketakutan boleh melumpuhkan kebolehan seseorang untuk berfikir dan bertindak dengan bijak.

Ketika dua malaikat diutus untuk menyelamatkan Lot dan keluarganya daripada pembinasaan yang menakutkan atas kota Sodom dan Gomora (Kejadian 19:12-13), mereka menghadapi tentangan. Menantu-menantu Lot menyangka amaran itu hanyalah jenaka (ayat 14). Apabila malaikat mendesak Lot meninggalkan kota itu dengan bergegas-gegas, Lot berlambat-lambat (ayat 15). Pada ketika itu, kedua-dua malaikat itu “memegang tangan Lot, isterinya, serta kedua-dua orang anak perempuannya,” dan membawa mereka ke luar kota dengan selamat kerana Allah mengasihani mereka (ayat 16).

Ketika kita mengimbas kembali perjalanan iman kita dalam Kristus, kita dapat melihat kesetiaan Tuhan dalam mengatasi keengganan dan tentangan kita. Apabila kita menemui orang sedang berseru minta tolong kerana berasa terdesak dan takut dalam jiwa, semoga kita mempunyai hikmat Tuhan untuk menunjukkan kasih-Nya kepada mereka—dan kepada setiap orang yang enggan diselamatkan oleh-Nya.