Kumpulan koir St. Olaf dari Northfield, Minnesota, adalah terkenal dengan muzik mereka yang indah. Alasan keunggulannya ialah proses pemilihan ahli koir. Para pemohon bukan sahaja dipilih berdasarkan bakat nyanyian mereka, tetapi juga kepaduan suara mereka semasa menyanyi dalam kumpulan. Selain itu, semua ahli harus mengutamakan koir ini dan komited kepada jadual latihan dan persembahan yang ketat.

Salah satu perkara yang amat menarik minat saya berlaku semasa latihan koir ini. Setiap kali, jika salah seorang ahli membuat kesilapan, orang itu akan mengangkat tangannya. Mereka tidak menyembunyikan kesilapan mereka, sebaliknya memberikan perhatian kepada kesilapan itu! Dengan itu, pemimpin koir boleh membantu setiap penyanyi mempelajari bahagian yang susah, dan cara ini meningkatkan kemungkinan mereka untuk mencapai prestasi yang sempurna.

Saya berpendapat inilah jenis masyarakat yang dibangunkan oleh Yesus ketika Dia memberitahu Nikodemus bahawa “Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya” (Yohanes 3:17). Tidak lama selepas perbualan ini, Yesus bertemu dengan seorang wanita Samaria di tepi perigi. Kata-kata Yesus membuat wanita Samaria itu dengan segera mengakui kegagalan dalam hidupnya, kerana Yesus berjanji wanita itu akan memiliki cara hidup yang lebih baik dan menikmati pengampunan Tuhan (Yohanes 4).

Sebagai anggota tubuh Kristus di bumi, kita tidak seharusnya takut untuk mengakui kesalahan kita tetapi hendaklah kita menerima bahawa pengakuan memberikan peluang kepada kita untuk mengalami dan bersukacita dalam pengampunan Tuhan.