Di utara Ghana, iaitu negara asal saya, kebakaran semak belukar biasanya berlaku pada musim kemarau antara bulan Disember hingga Mac. Saya telah menyaksikan beberapa ekar tanah ladang terbakar apabila angin meniupkan bara daripada perapian atau puntung rokok yang dibuang dengan lalai di tepi jalan. Api yang sangat kecil sahaja pun boleh menyebabkan kebakaran dan kemusnahan di padang rumput yang kering di kawasan itu.
Begitulah yang digambarkan oleh Yakobus mengenai lidah, dia menulis: “lidah seperti dunia yang dikuasai kejahatan, dan menyebarkan kejahatan ke seluruh diri kita. Lidah menghanguskan seluruh hidup kita dengan api yang berasal dari neraka” (Yakobus 3:6). Sesuatu hubungan akan musnah jika seseorang memfitnah, mengata-ngatai orang lain, serta mengeluarkan kata-kata yang menusuk hati. Amsal 12:18 menuliskan: “Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang, tetapi ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan.” Sebagaimana api mempunyai unsur yang membawa kemusnahan dan kegunaan, demikianlah juga “kata-kata yang diucapkan mempunyai kuasa untuk menyelamatkan ataupun membinasakan” (18:21).
Kata-kata kita hendaklah “senantiasa penuh kasih” (Kolose 4:6, Alkitab TB), bagi mencerminkan kehadiran Tuhan dalam diri kita dan menyenangkan hati-Nya. Apabila kita mengungkapkan pendapat yang bertentangan, marilah kita memohon Tuhan agar Dia menolong kita memilih kata-kata yang boleh memuliakan nama-Nya.