Pada tahun 1879, para ahli arkeologi menemui sebuah silinder bersurat kecil di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Iraq (negeri Babilonia dalam Alkitab). Silinder tanah liat yang hanya berukuran 23 sentimeter panjang itu mencatatkan hal-hal yang dilakukan oleh Raja Kores dari Persia pada 2,500 tahun yang lalu. Kandungan itu berbunyi bahawa Raja Kores membenarkan sekumpulan orang balik ke tanah air mereka untuk membina semula “kota suci” mereka.
Catatan itu sama dengan kisah dalam kitab Ezra 1: “TUHAN menggerakkan hati Raja Kores, raja Persia” untuk mengeluarkan titah itu (ayat 1). Dalam pengisytiharan itu, Raja Kores akan membebaskan para tawanan di Babilonia untuk kembali ke Yerusalem, serta mendirikan semula rumah mereka dan Rumah TUHAN (ayat 2-5). Namun, terdapat kisah lain di sebalik kisah itu. Daniel mengakui dosanya dan dosa umatnya, serta menyeru agar Tuhan menamatkan penawanan Babilonia ke atas bangsa Israel (Daniel 9). Tuhan menjawab dengan mengutus malaikat Gabriel untuk bercakap dengan Daniel (ayat 21). Kemudian, Tuhan menggerakkan hati Raja Kores untuk membebaskan bangsa Israel. (Sila baca juga Yeremia 25:11-12; Yeremia 39:10.)
Silinder bersurat Kores dan firman Tuhan membuktikan bahawa hati Raja Kores telah diubah sehingga dia membenarkan tawanan-tawanan Israel kembali ke tanah air mereka dan beribadah kepada Tuhan.
Kisah ini memberikan pengaruh yang amat besar kepada kita pada hari ini. Dalam dunia yang seolah-olah hilang kawalan ini, kita boleh yakin bahawa Tuhan dapat mengubah hati para pemimpin. Dalam Amsal 21:1 menuliskan bahawa “TUHAN menguasai fikiran raja.” Roma 13:1 menuliskan bahawa “pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah.”
Tuhan yang mampu mengubah hati kita dan hati para pemimpin, adalah Tuhan yang boleh dipercayai kerana Dialah yang berkuasa. Marilah kita meminta campur tangan-Nya.