Kering. Berhabuk. Berbahaya. Itu gambaran desert (gurun). Tempat yang hanya ada sedikit air, tempat yang tidak sesuai untuk didiami. Maka tidak hairanlah perkataan Inggeris deserted menerangkan sebuah tempat yang tidak berpenghuni. Kehidupan di gurun adalah sukar. Hanya sedikit orang memilih untuk tinggal di situ. Namun kadangkala kita tidak dapat mengelakkan diri daripada berada di tempat yang sama.

Dalam Alkitab, umat Tuhan amat biasa dengan kehidupan di gurun. Kebanyakan kawasan Asia Tengah, termasuklah negara Israel merupakan kawasan gurun. Tetapi terdapat juga kawasan yang subur seperti Lembah Yordan dan kawasan-kawasan di sekeliling Tasik Galilea. Tuhan memilih untuk “mendirikan keluarga-Nya” di tempat yang dikelilingi padang gurun, tempat yang Dia boleh menyatakan kebaikan-Nya kepada anak-anak-Nya sementara mereka percaya bahawa Tuhan memberikan perlindungan dan menyediakan keperluan harian mereka (Yesaya 48:17-19).

Hari ini, kebanyakan orang tidak hidup di gurun yang benar, namun kita sering menempuh hidup yang seolah-olah berada di situ. Kadangkala kita pergi ke gurun demi ketaatan kepada Tuhan. Pada masa lain pula, kita mendapati diri kita menempuhi hidup seperti di gurun melalui pilihan atau tindakan yang tidak kita sedari. Apabila seseorang meninggalkan kita, atau penyakit menyerang badan kita, kita seolah-olah berada di gurun, tempat yang amat kekurangan sumber hidup dan sukar untuk menampung kehidupan.

Tetapi maksud menempuhi hidup di gurun, sama ada secara harfiah atau kiasan, adalah mengingatkan kita bahawa kita bergantung pada Tuhan untuk menampung hidup kita—pengajaran yang kita perlu ingati walaupun kita sedang hidup di tempat yang makmur.