Francis Allen telah membimbing saya mengenal Yesus. Sekarang sudah hampir masanya dia bersemuka dengan Yesus, yakni meninggal dunia. Saya berada di rumahnya apabila menjelang masa untuk dia mengucapkan selamat jalan. Saya ingin berkata sesuatu yang bermakna dan tidak dapat dilupakan bagi Francis.

Hampir sejam saya berada di tepi katilnya. Dia tertawa terbahak-bahak pada cerita tentang diri saya. Kemudian dia berasa letih. Kami berhenti berbual tentang cerita lucu, seterusnya dia memberikan nasihat-nasihat terakhir berkenaan kelemahan-kelemahan yang dilihatnya dalam kehidupan saya. Saya mendengar sahaja, sementara cuba menyusun kata-kata untuk mengucapkan selamat jalan kepada dia.

Dia terus berkata-kata sebelum pun saya berpeluang berkata, “Randy, ingatlah kata-kata yang saya selalu cakapkan kepada kamu. Kita tidak perlu takut kepada perjalanan kehidupan kita kerana kita tahu penghujungnya. Saya tidak takut. Baliklah, pergi dan lakukanlah apa yang telah saya ajarkan kepada kamu.” Kata-kata yang mencabar itu mengingatkan saya tentang apa yang dituliskan Paulus kepada jemaah-jemaah di Filipi, “Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku” (Filipi 4:9).

Mata Francis tetap bersinar pada hari terakhirnya seperti kami mula-mula berjumpa. Tidak ada ketakutan dalam hatinya.

Banyak sekali daripada kata-kata yang saya tulis, kisah yang saya ceritakan, dan orang yang saya layani merupakan orang yang dijangkau oleh Francis. Tatkala kita melalui hidup ini, hendaklah kita mengingati mereka yang telah menggalakkan kita secara rohani.