Pada akhir abad ke-19, William Carey menerima panggilan Tuhan untuk pergi ke India sebagai seorang penginjil supaya berkongsi Berita Baik tentang Yesus. Para pastor di sekelilingnya mencemuh dia dengan berkata: “Orang muda, jika Tuhan ingin menyelamatkan [sesiapa] di India, Tuhan akan melakukannya tanpa bantuan kamu atau saya!” Mereka tidak faham bahawa Tuhan ingin bekerjasama dengan kita. Dia selalu melakukan pekerjaan-Nya melalui orang seperti kita.
Sebagai rakan kongsi dalam pekerjaan Tuhan di bumi, kita menegaskan bahawa kehendak Tuhan ditaati, manakala pada masa yang sama kita mengabdikan diri untuk melakukan apa pun yang dituntut oleh Tuhan. Yesus mengajar kita berdoa seperti ini: “seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati” (Matius 6:10). Kata-kata dalam doa tersebut bukan setakat permintaan sahaja, melainkan tuntutan yang suci. Berikanlah kami keadilan! Betulkanlah dunia ini!
Kita dan Tuhan masing-masing mempunyai pelbagai peranan. Peranan kita adalah mengikuti jejak-jejak Yesus dengan melakukan pekerjaan kerajaan Tuhan melalui perbuatan dan doa kita.
Kita adalah tubuh Kristus di bumi, sebagaimana metafora Paulus dalam Kolose 1:24. Orang-orang yang kita layani juga dilayani oleh Kristus. Apabila kita mencurahkan rahmat kepada orang yang hidup dalam kehancuran, kita menghulurkan bantuan daripada tangan Kristus sendiri.