Pada zaman awal 1970-an di negara Ghana, sebuah tajuk poster yang berbunyi “Hati Manusia” dilekatkan pada tembok dan papan-papan notis awam. Dalam sekeping poster, terdapat lukisan berbentuk hati yang dipenuhi dengan gambar semua jenis reptilia—yang melambangkan kekejian dan sifat kehinaan—dan di atasnya dilukiskan kepala seorang lelaki yang sangat sedih. Pada gambar lain, lukisan berbentuk hati itu bersih dan tenang dengan kepala seorang lelaki yang berpuas hati. Keterangan gambar di bawahnya berbunyi: “Yang manakah keadaan hati anda?”
Dalam Matius 15:18-19, Yesus menjelaskan hal yang boleh mencemarkan orang. Kata-Nya, “Apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang. Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah.” Itulah keadaan hati yang terpisah daripada Tuhan—keadaan hati yang didapati di dalam umat Israel sehingga dosa-dosa sedemikian memaksa mereka dibuang negeri (Yehezkiel 36:23).
Janji Tuhan dalam Yehezkiel 36:26 adalah indah: “Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat.” (Sila baca juga 11:19). Tuhan akan membersihkan hati kita yang telah tercemar oleh segala jenis kejahatan dan memberikan hati yang bersih kepada kita yang taat kepada-Nya. Puji Tuhan atas pemberian yang begitu indah.