Semasa saya duduk bersama empat orang remaja dan seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an di sebuah tempat yang menyediakan makanan percuma, saya terharu dengan belas kasihan yang ditunjukkan oleh keempat-empat remaja itu kepada lelaki tersebut yang tiada tempat tinggal. Mereka mendengar lelaki itu menceritakan kepercayaannya dan mereka dengan lembut menyampaikan Injil kepadanya—dengan kasih menawarkan harapan kepadanya melalui iman kepada Yesus. Namun sedihnya, lelaki tersebut enggan menerima Injil.
Ketika kami beredar, salah seorang remaja perempuan yang bernama Grace, berasa sedih dan menangis kerana dia tidak mahu lelaki tersebut mati tanpa mengenal Yesus. Dari hatinya, Grace sedih untuk lelaki muda tersebut yang menolak kasih Penyelamat, walaupun pada saat itu.
Air mata remaja ini mengingatkan saya tentang rasul Paulus yang melayani Tuhan dengan rendah hati. Dia juga berasa sangat sedih untuk bangsanya, kerana dia ingin agar mereka percaya kepada Kristus (Roma 9:1-5). Belas kasihan dan kepedulian Paulus terhadap bangsanya itu pasti telah membuatkan dia menangis untuk banyak kali.
Jika kita benar-benar mengambil berat terhadap orang lain yang belum lagi menerima kasih kurnia pengampunan Tuhan melalui Kristus, kita akan mencari jalan untuk berkongsi berita baik itu kepada mereka. Dengan keyakinan iman kita sendiri dan dengan tangisan belas kasihan, marilah kita menyebarkan berita baik itu kepada mereka yang perlu mengenal Penyelamat.