Ada dua orang budak lelaki sedang bermain satu permainan yang susah dengan menggunakan kayu dan tali. Selepas beberapa minit, budak yang lebih tua berpaling ke arah kawannya dan menengking, “Kamu tidak main dengan betul. Ini permainan saya dan kita kena main ikut cara saya. Kamu tidak boleh main lagi!” Keinginan untuk melakukan apa-apa mengikut cara kita sendiri bermula sejak kecil!

Naaman juga seorang yang biasa melakukan apa-apa mengikut cara sendiri. Dia seorang panglima tentera bagi raja Siria. Namun dia menghidapi sejenis penyakit yang tidak dapat diubati. Pada suatu hari, hamba perempuan isterinya, iaitu seorang anak yang ditawan dari negeri Israel, mencadangkan dia pergi mencari penyembuhan daripada seorang nabi Tuhan yang bernama Elisa. Naaman sangat ingin disembuhkan, tetapi dia mengarahkan nabi itu datang kepadanya. Dia mahu upacara penyembuhan itu dilakukan dengan besar-besaran dan kehormatan. Jadi, apabila Elisa hanya memesan Naaman pergi mandi di Sungai Yordan, dia naik marah! Dia enggan berbuat demikian (2 Raja-Raja 5:10-12). Hanya apabila dia merendahkan hatinya dan tunduk kepada cara Tuhan, barulah dia sembuh (ayat 13-14).

Barangkali kita mungkin juga pernah berkata kepada Tuhan, “Saya akan melakukan perkara ini mengikut cara saya sendiri.” Tetapi selalunya cara Tuhan yang terbaik. Jadi, marilah kita mohon kepada Tuhan untuk memberikan kita kerendahan hati, agar kita tunduk kepada cara-Nya, bukan cara kita sendiri.