Apabila saya mendengar kisah-kisah tentang kanak-kanak dan remaja yang dibuli, saya mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya dua tahap kelukaan pada mereka. Tahap kelukaan yang pertama dan yang paling ketara datang daripada sikap yang tidak bertimbang rasa dan tidak bersimpati daripada si pembuli. Tahap pertama ini sahaja sudah cukup dahsyat. Namun, terdapat satu tahap kelukaan lagi yang lebih parah, yang mungkin akan berakhir dengan keparahan yang lebih teruk daripada yang pertama tadi: Sikap orang lain yang hanya berdiam, tidak bersuara untuk membela mereka yang dibuli.

Hal itu menyakitkan hati si mangsa kerana mereka amat tergamam bahawa tiada seorang pun yang mahu menolong mereka. Hal itu membuatkan si pembuli semakin tidak takut untuk membuli orang, malahan bersikap semakin zalim. Lebih buruk lagi, ia menambahkan lagi keaiban, rasa malu yang tidak sepatutnya, dan kesepian si mangsa. Jadi, kita diperintah untuk bersuara bagi membela orang lain dan menentang sikap tersebut (Baca Amsal 31:8A).

Yesus amat memahami perasaan orang yang dibuli dan mereka yang dibiarkan menderita keseorangan. Tanpa sebab, Dia ditangkap, dipukul dan dicemuh (Lukas 22:63-65). Matius 26:56 menuliskan, “semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia.” Bahkan Petrus, iaitu sahabat baik Yesus pun menafikan bahawa dia mengenali Yesus sebanyak tiga kali (Lukas 22:61). Walaupun orang lain tidak dapat memahami kesakitan yang anda alami, Yesus memahami sepenuhnya.

Apabila kita melihat orang lain disakiti, kita boleh meminta Tuhan memberi kita keberanian untuk bersuara dan mempertahankan orang lain.