Seorang peniaga Kristian yang berjaya telah berkongsi kisahnya kepada kami di gereja. Dia berterus-terang menceritakan pergelutannya dalam iman dan kekayaannya yang banyak. Katanya, “Kekayaan menakutkan saya!”

Dia memetik kenyataan Yesus yang berbunyi, “Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah” (Lukas 18:25). Dia juga memetik ayat daripada Lukas 16:19-31 yang menceritakan tentang orang kaya dan Lazarus, dan orang kaya itu masuk ke neraka. Perumpamaan “hartawan yang bodoh” (Lukas 12:16-21) menggentarkan dia.

“Tapi”, kata peniaga tersebut, “saya mendapat satu pengajaran daripada Raja Salomo tentang kekayaan yang melimpah, ‘segalanya tidak bermakna’ ” (Pengkhutbah 2:11). Peniaga tersebut bertekad agar kekayaan tidak menghalang dia mengabdi kepada Tuhan. Dia ingin melayani Tuhan dengan harta dan kekayaannya untuk membantu orang yang ada keperluan.

Di sepanjang beberapa abad ini, Tuhan telah memberkati sesetengah orang dengan harta benda. Misalnya Raja Yosafat dalam 2 Tawarikh 17:5, “TUHAN memberkati pemerintahannya … sehingga baginda menjadi kaya dan dihormati.” Raja Yosafat tidak menjadi sombong atau menindas orang lain dengan kekayaannya. Sebaliknya, raja Yosafat “berbangga kerana mengabdi kepada TUHAN” (ayat 6). Juga, “seperti ayahandanya dahulu, Raja Yosafat melakukan apa yang benar di sisi TUHAN” (2 Tawarikh 20:32).

Tuhan tidak menentang kekayaan kerana Dia telah memberkati sesetengah orang dengan kekayaan—tetapi sudah tentulah Dia menentang pemerolehan kekayaan yang tidak beretika dan penyalahgunaannya. Tuhan layak menerima pengabdian daripada semua pengikut-Nya.