Gereja kecil bernama Kamppi Chapel of Silence di Helsinki, Finland, menonjol dalam persekitaran bandar. Strukturnya melengkung, ditutupi dengan kayu, dan menampan bunyi bising daripada kesibukan bandar raya di luar. Pereka gereja kecil merujuk bangunan itu sebagai suatu ruang yang senyap dan mewujudkan “persekitaran tenteram kepada para pelawat untuk menenangkan diri mereka.” Ia suatu tempat yang boleh melarikan diri daripada kesibukan bandar raya.

Ramai orang inginkan kedamaian, dan beberapa minit kesenyapan boleh menenangkan fikiran kita. Tetapi Alkitab mengajar bahawa kedamaian sebenar—kedamaian bersama Tuhan—datang daripada Anak-Nya. Rasul Paulus berkata, “Oleh itu kita hidup dalam kedamaian dengan Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita” (Roma 5:1). Tanpa Kristus, kita adalah musuh Tuhan kerana dosa kita. Syukurlah, dengan menerima pengorbanan Yesus, kita didamaikan dengan Tuhan dan permusuhan yang wujud antara kita berakhir (Kolose 1:19-21). Dia kini melihat kita sebagaimana Kristus persembahkan kita—“dalam keadaan yang suci, murni, dan tidak bercela” (ayat 22).

Pendamaian dengan Tuhan tidak memastikan hidup kita bebas daripada masalah. Bagaimanapun, kedamaian itu meneguhkan kita pada waktu kesusahan. Yesus memberitahu pengikut-Nya, “Di dunia kamu akan menderita,” tetapi Dia juga berkata, “Kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku” (Yohanes 16:33). Kerana Kristus, damai sejati Tuhan boleh memenuhi hati kita (Kolose 3:15).