Ada satu tiub lava bawah tanah di selatan Kuna, Idaho, Amerika Syarikat, yang sedikit sebanyak mendapat kemasyhuran tempatan. Satu-satunya pintu masuk, setakat yang saya tahu, adalah sebuah lubang terbuka luas yang menjunam lurus ke dalam kegelapan.

Beberapa tahun yang lalu saya berdiri di pinggir lubang itu dan memandang ke bawah. Saya tertarik untuk lebih mendekatinya dan hampir hilang keseimbangan. Saya merasakan jantung saya berdebar-debar ketakutan, maka saya terus menjauhi mulut lubang itu.

Dosa adalah seperti itu: Sikap ingin tahu boleh menarik kita ke arah kegelapan. Berapa kerapkah lelaki dan wanita yang terlalu dekat dengan bahaya, hilang keseimbangan mereka, lalu jatuh ke dalam kegelapan? Mereka telah memusnahkan keluarga, reputasi, dan kerjaya mereka melalui hubungan zina yang bermula dengan “hanya” main cinta, tetapi kemudian berkembang kepada pemikiran dan tindakan. Ketika mengimbas kembali, hampir setiap mereka selalu berkata, “Saya tidak pernah terfikir hal ini akan sampai kepada tahap ini.”

Kita berfikir boleh bermain-main dengan godaan, pergi dekat sekali dengan bahaya, kemudian menjauhinya, tetapi itu adalah mimpi bodoh. Kita tahu tindakan itu salah, namun kita masih bermain-main dengannya. Kemudian, dengan tidak dapat menggelak lagi, kita ditarik ke dalam perbuatan cabul yang lebih mendalam dan lebih gelap. Yesus menyatakannya begini: “Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa” (Yohanes 8:34).

Oleh itu, kita patut berdoa seperti Daud dalam Mazmur 19:14, kerana melihat keperluan kita sendiri akan pertolongan Tuhan, “Selamatkanlah aku juga daripada dosa yang disengajakan; jangan biarkan aku dikuasai olehnya.”