Apabila anda menatal ke bahagian bawah di banyak laman berita dalam talian, anda akan menemukan seksyen “Ulasan”, dan di situ pembaca boleh meninggalkan pemerhatian mereka. Bahkan laman web yang bereputasi baik pun penuh dengan gembar-gembur biadab, penghinaan jahil, dan kata-mengata.
Kitab Amsal telah dikumpul kira-kira 3,000 tahun yang lalu, tetapi kebijaksanaan abadinya adalah mutakhir seperti berita hari ini. Dua amsal dalam fasal 26 kelihatan seperti bercanggah, namun ia boleh diterapkan dengan sempurna kepada media sosial. “Orang yang menjawab pertanyaan yang bukan-bukan, menjadi sebodoh orang yang bertanya” (ayat 4). Dan, “Pertanyaan yang bodoh harus diberikan jawapan yang bodoh juga, supaya si penanya sedar bahawa dia tidak sepandai yang disangkanya” (ayat 5).
Ada keseimbangan dalam pernyataan berikut: Jangan menjawab dengan cara orang bodoh menjawab. Tetapi berilah jawapan supaya kebodohan tidak dianggap kebijaksanaan.
Masalah saya adalah kebodohan yang saya sering hadapi adalah kebodohan saya sendiri. Ada kalanya saya memaparkan komen menyindir atau menukar kenyataan orang lain kembali melawan mereka. Tuhan membencinya apabila saya melayan sesama manusia dengan sikap tidak hormat, walaupun mereka sendiri pun bebal.
Tuhan yang kita layani memberi kita pelbagai kebebasan yang menakjubkan. Jadi kita bebas untuk memilih apa yang kita akan katakan, serta bila dan bagaimana kita mengatakannya. Kita juga sentiasa bebas untuk memohon kebijaksanaan daripada-Nya.
Nyatakan pendapat anda tentang topik ini di laman Facebook kami, https://goo.gl/qPkhsv.