Dalam Portraits of Famous American Women, Robert Henkes menulis, “Sebuah potret bukan sebuah gambar, bukan juga imej cermin.” Sebuah potret melangkaui penampilan luar untuk menyiasat kedalaman emosi jiwa manusia. Dalam sebuah potret, seorang artis sejati cuba “menangkap watak sebenar orang itu.”
Selama beberapa abad, banyak potret Yesus telah dilukis. Mungkin anda telah melihatnya di sebuah gereja atau muzium seni atau bahkan di rumah anda. Sudah tentu tidak satupun potret-potret itu betul, kerana kita tidak mempunyai gambar atau imej cermin penampilan fizikal Tuhan kita. Bagaimanapun, kita mempunyai potret perkataan-Nya yang indah dalam Yesaya 53. Penerangan yang diilhamkan Tuhan ini diperincikan dengan jelas akan siapa Dia: “Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya … tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita … kita disembuhkan kerana luka-lukanya” (ayat 4-5).
Petikan ini membolehkan kita melihat kasih dan kedukaan, kesedihan dan kesakitan pada wajah Yesus. Tetapi bibir-Nya tidak menuduh atau mengutuk. Dia sendiri tidak mempunyai dosa yang dikesali; hanya dosa kita yang ditanggung-Nya. Dan jauh di dalam hati, Dia tahu bahawa “penderitaannya tidak sia-sia” (ayat 11).
Alangkah indahnya potret Penyelamat kita!