Sementara saya membaca mesej teks pada telefon bimbit saya, suhu badan saya mula meningkat dan darah saya mula mendidih. Saya hampir mengirimkan mesej jahat apabila suara hati memberitahu saya supaya bertenang dan membalasnya esok. Keesokan paginya selepas tidur malam yang baik, isu yang sungguh mengecewakan saya kelihatan amat remeh. Saya telah membesar-besarkannya kerana saya tidak mahu meletakkan kepentingan orang lain lebih dahulu daripada diri saya sendiri. Saya tidak mahu menyusahkan diri untuk membantu orang lain.
Dengan kesal, saya kerap bertindak balas dalam kemarahan. Saya sering mendapati diri saya perlu mengamalkan kebenaran Alkitab yang sudah diketahui, seperti “Apabila kamu menjadi marah, janganlah kamu berbuat dosa” (Efesus 4:26, Alkitab TB) dan “Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri” (Filipi 2:4).
Syukurlah, Tuhan telah memberi kita Roh-Nya yang akan membantu kita melawan dosa kita. Rasul Paulus dan rasul Petrus menyebutnya “yang dikuduskan oleh Roh” (2 Tesalonika 2:13; 1 Petrus 1:2). Tanpa kuasa-Nya, kita tidak berdaya dan dikalahkan; tetapi dengan kuasa-Nya, kita boleh menang.