Satu pagi ketika Lilia bersiap untuk bekerja, anak perempuannya, Jess, yang berusia 4 tahun, juga bersiap untuk melakukan kerja. Keluarga ini telah membeli sebuah pembakar roti yang menggunakan alat penghantar, dan konsep roti berputar melalui kaunter ketuhar kecil mempesonakan Jess. Beberapa minit kemudian, Lilia menemukan roti dan separuh daripada roti bakar bertimbun di kaunter. “Saya pembuat roti yang pandai!” Jess isytiharkan.
Bukan suatu keajaiban bahawa seorang anak kecil boleh menukarkan roti menjadi roti bakar. Tetapi ketika Yesus mengubah lima roti dan dua ikan milik seorang anak lelaki menjadi makanan untuk ribuan orang, orang ramai di lereng bukit mengiktirafkan keajaiban peristiwa itu dan mahu menjadikan Dia raja (Lihat Yohanes 6:1-15).
Kerajaan Yesus, sudah tentu “bukan dari dunia ini” (Yohanes 18:36), oleh itu Dia menyelinap pergi. Apabila orang ramai menemui Dia pada hari berikutnya, Kristus mendapati niat mereka buruk: “Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang” (6:26). Mereka salah sangka dan menganggap “Raja” Yesus akan mengenyangkan mereka dan memberikan kemerdekaan. Tetapi Yesus menasihatkan mereka, “Jangan berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal” (ayat 27).
Sudut pandangan menurut dunia akan membuat kita memperlakukan Yesus sebagai jalan mencapai suatu tujuan. Sebenarnya, Dia ialah Roti Kehidupan kita.