Semasa Perang Bosnia (Tahun 1992-1996), lebih daripada 10,000 orang—orang awam dan tentera—terbunuh di bandar Sarajevo ketika tembak-menembak dan peluru mortar jatuh dari bukit-bukit di sekitarnya. Novel menarik, karangan Steven Galloway, The Cellist of Sarajevo bermula di sana, semasa pengepungan terlama sebuah ibu kota dalam peperangan moden. Buku ini menceritakan tiga watak cereka yang perlu membuat keputusan sama ada memperhatikan diri sendiri sahaja dalam perjuangan mereka untuk terus hidup, atau bangkit dari keadaan yang amat sukar dan mempertimbangkan orang lain ketika dalam kesusahan besar.
Dari sebuah penjara di Roma, Paulus menulis kepada orang Kristian di Filipi: “Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri” (Filipi 2:4). Paulus menyebut Yesus sebagai teladan agung yang tidak mementingkan diri sendiri dan memperhatikan orang lain: “Kristus Yesus … tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya … Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati—iaitu mati di atas salib” (ayat 5-8). Yesus tidak mencari simpati daripada orang lain, malah Dia memberikan segala-galanya untuk melepaskan kita daripada penyeksaan dosa.
Cabaran berterusan kita sebagai pengikut Yesus adalah melihat melalui mata-Nya dan memperhatikan keperluan orang lain dalam kekuatan-Nya, bahkan dalam masa kesukaran kita sendiri.
Apakah yang anda masih boleh lakukan untuk orang lain?