Pada waktu saya masih muda, minggu kegemaran saya pada musim panas adalah minggu ketika berada di kem belia Kristian. Pada akhir minggu, saya duduk rapat dengan kawan-kawan di depan unggun api yang sangat besar. Di sana, kami berkongsi apa yang kami telah pelajari tentang Tuhan dan Alkitab dan menyanyi. Satu lagu yang saya masih ingat tertumpu pada membuat keputusan untuk mengikuti Yesus. Korusnya mengandungi satu frasa penting: “tidak berpatah balik.”

Apabila Elisa memutuskan untuk mengikut nabi Elia, Elisa melakukan sesuatu yang luar biasa dan menyukarkan, bahkan membuat dia mustahil untuk kembali ke pekerjaan lama dalam pertanian. Selepas pulang dan mengadakan jamuan perpisahan, Elisa “mengambil pasangan lembunya, dan menyembelihnya” (1 Raja-Raja 19:21). Dia meninggalkan cara hidupnya, dan membakar peralatan membajak miliknya. Dia memanggang daging lembu yang baru disembelih dan memberi makan kepada semua orang yang hadir. Kemudian “Elisa mengikut Elia sebagai pembantunya” (ayat 21).

Apabila kita memberi diri kepada Tuhan yang layak menerima pengabdian kita, selalunya ada harga yang harus dibayar. Kadang-kadang ini bermaksud membuat keputusan yang sukar tentang perhubungan, kewangan, dan tempat tinggal. Walau bagaimanapun, tiada apa pun yang dapat dibandingkan dengan apa yang kita peroleh apabila kita terus bersama dengan Kristus. Yesus berkata, “Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati” (Matius 16:25).