Nenek moyang saya merupakan perintis di Michigan, Amerika Syarikat. Mereka menggemburkan tanah, bercucuk tanam, serta menyediakan ladang untuk menghasilkan tuaian sebagai makanan bagi keluarga mereka. Kebolehan bertani ini diturunkan kepada banyak generasi. Bapa saya membesar di sebuah ladang di Michigan dan dia sangat suka berkebun. Ini mungkin dapat menerangkan sebab saya sendiri yang minat berkebun serta menghidu bau tanah yang subur. Penanaman tumbuhan yang menghasilkan bunga-bunga indah serta pemeliharaan bunga ros yang menyebarkan bau harum di taman kami merupakan hobi kegemaran saya. Kalaulah tiada lalang, ia akan menjadi lebih indah!

Apabila saya harus bertembung dengan lalang, saya diingatkan dengan Taman Eden; ia satu taman yang sempurna sehingga Adam dan Hawa melanggar perintah Tuhan, lalu duri serta tumbuhan liar pun menjadi kenyataan mereka dan setiap pekebun sehingga hari ini (Kejadian 3:17-18).

Alkitab juga menyebut tentang sebuah lagi taman—taman Getsemane, tempat yang Kristus, dalam keadaan cemas, meminta kepada Bapa-Nya agar ada jalan lain untuk menghapuskan dosa yang lahir dari Eden. Di Getsemane, Yesus menyerah sepenuhnya kepada Bapa-Nya serta menurut perintah walaupun Dia berada dalam keadaan yang amat menyakitkan: “ … biarlah kehendak Bapa berlaku” (Matius 26:42).

Oleh sebab Yesus menyerahkan diri di taman itu, kita sekarang dapat menuai hasil tuaian daripada kasih anugerah-Nya yang amat besar. Semoga hal ini akan membawa kita menyerah penuh kepada Tuhan kita yang membuang dosa kita seperti lalang daripada kehidupan kita.