Sdaemasa Perang Dunia II, kompas-kompas kecil telah menyelamatkan nyawa 27 orang pelayar, 482 kilometer dari pantai Carolina Utara. Masa itu Waldemar Semenov, seorang pedagang laut yang sudah bersara sedang berkhidmat sebagai jurutera peringkat rendah dalam kapal SS Alcoa Guide. Tiba-tiba sebuah kapal selam Jerman timbul di permukaan air dan mula melepaskan tembakan ke arah kapal itu. Kapal laut tersebut terkena tembakan, lalu terbakar, dan mula tenggelam. Semenov dan anak-anak kapal lain dengan segera menurunkan bot penyelamat yang dilengkapkan dengan kompas ke dalam air, lalu menggunakan kompas tersebut untuk memimpin mereka ke arah jalan laut yang lebih dekat dengan pantai. Selepas tiga hari, mereka diselamatkan.
Pemazmur mengingatkan umat Tuhan bahawa firman-Nya adalah kompas yang boleh “dipercayai.” Dia mengibaratkannya sebagai satu pelita. Pada hari itu, kelipan cahaya yang dihasilkan oleh pelita minyak zaitun hanya cukup terang untuk menunjukkan langkah seterusnya bagi si pengembara. Bagi pemazmur, firman Tuhan adalah seperti pelita tersebut, yang memberikan cahaya secukupnya untuk menerangi jalan mereka yang mencari Tuhan (Mazmur 119:105). Apabila pemazmur merayau-rayau dalam kegelapan, serta menuju jalan kehidupan yang kacau-bilau, dia percaya melalui pimpinan firman Tuhan, Dia akan memberi tunjuk arah.
Apabila kita hilang arah dalam hidup ini, kita boleh percaya kepada Tuhan yang memberi firman-Nya sebagai kompas, lalu menggunakannya untuk membawa kita masuk ke dalam perhubungan yang lebih intim dengan-Nya.