Dalam bukunya The Screwtape Letters, C. S. Lewis merekodkan satu perbualan rekaan antara Iblis tua dan Iblis muda tentang cara untuk menggoda seorang Kristian dengan betul. Kedua-dua Iblis itu menginginkan iman orang yang percaya kepada Tuhan dimusnahkan. “Jangan tertipu” kata Iblis tua kepada Iblis muda. “Rancangan kita tidak akan berjaya, apabila seorang manusia … melihat dan mencari setiap kesan tentang Tuhan di alam semesta, seolah-olah Tuhan tidak lagi wujud dan menanyakan sebab dia ditinggalkan, walaupun demikian, dia masih taat kepada Tuhan.”
Alkitab memberi banyak contoh tentang orang yang bertindak dalam iman walaupun mereka merasa seperti ditinggalkan. Abram merasakan bahawa Tuhan tidak mengendahkan janji-Nya untuk memberi dia seorang anak (Kejadian 15:2-3). Si pemazmur merasa tidak dipedulikan ketika dia melalui waktu sukar. (Mazmur 10:1). Kesusahan Ayub amat besar sehingga dia berfikir bahawa Tuhan mungkin akan membunuh dia (Ayub 13:15). Yesus juga berseru “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” dari kayu salib (Matius 27:46). Namun, pada setiap saat, Tuhan sentiasa menunjukkan kesetiaan-Nya (Kejadian 21:1-7; Mazmur 10:16-18; Ayub 38:1–42:17; Matius 28:9-20).
Walaupun Iblis mungkin cuba menggoda anda agar anda berasa seolah-olah anda ditinggalkan, namun Tuhan sentiasa dekat. Dia tidak pernah meninggalkan umat-Nya. “Allah sudah berfirman, ‘Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu’ ” (Ibrani 13:5). Kita boleh berkata dengan penuh keyakinan, “Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut” (ayat 6).