Imej pada skrin besar yang diambil dengan jarak dekat itu sangat jelas dan terang, sehingga kami dapat melihat luka yang dalam pada badan lelaki itu. Seorang askar memukulnya sementara orang ramai yang marah berkerumun di sana, mentertawakan wajahnya yang kini dipenuhi darah. Babak-babak tersebut kelihatan amat nyata sehingga saya seolah-olah dapat merasakan kesakitan tersebut di tengah-tengah pawagam terbuka itu. Namun ini hanyalah suatu lakonan semula tentang kesengsaraan Yesus bagi kita.
Untuk mengingatkan kita akan kesengsaraan yang dihadapi oleh Yesus, Petrus menulis, “Untuk hal inilah Allah memanggil kamu, kerana Kristus sendiri sudah menanggung penderitaan untuk kamu, dan memberi kamu satu teladan, supaya kamu mengikut jejak-Nya” (1 Petrus 2:21). Sementara kesengsaraan wujud dalam pelbagai bentuk dan tahap, ia tidak boleh dielakkan. Kesengsaraan kita mungkin tidak seteruk pengalaman yang dihadapi oleh Paulus, yang dia pernah dipukul, direjam, dan mengalami nahas kapal karam. Malah dia diserang oleh penyamun, dan melalui waktu kelaparan serta dahaga (2 Korintus 11:24-27). Begitu juga kita mungkin tidak mengalami kesengsaraan seperti orang lain yang ditindas dengan teruk kerana budaya asal mereka tidak menerima agama Kristian.
Namun demikian, dalam bentuk lain pula, kesengsaraan pasti menimpa kita apabila kita menolak diri sendiri, mengalami gangguan, menerima kutukan, atau menolak untuk mengikuti aktiviti yang tidak memuliakan Tuhan. Malah mereka yang menunjukkan kesabaran, mengelak untuk membalas dendam, dan mengampuni orang lain agar perhubungan terpelihara adalah cara-cara mengikuti langkah-Nya.
Bila-bila sahaja kita mengalami kesengsaraan, ingatlah akan apa yang sudah ditanggung oleh Yesus bagi kita.