Ibu muda itu mengeluh apabila dia menyediakan sedikit makanan untuk makan tengah hari untuk anak perempuannya yang berusia 3 tahun. Sambil memandang bakul buah-buahan yang kosong di atas meja di dapur kecil mereka, dia mengeluh dan berkata dengan kuat, “Kalaulah kita mempunyai sebakul buah-buahan, saya akan berasa kaya!” Anak kecilnya terdengar kata-katanya.

Beberapa minggu berlalu. Tuhan mencukupkan keperluan keluarga kecil ini. Namun, ibu yang berusaha keras ini masih bimbang. Lalu pada suatu hari anak kecilnya berlari ke dapur. “Lihat, Mak, kita dah menjadi kaya!” Dia berteriak, sambil menunjuk ke arah bakul buah-buahan yang penuh di atas meja. Tiada apa-apa yang berubah tetapi keluarga itu telah membeli satu beg epal.

Ketika Yosua, pemimpin bangsa Israel itu hampir mati, dia mengongsikan pesanan daripada Tuhan yang menceritakan semua yang dilakukan Tuhan untuk mereka. Dan dia berkata, “Lama sekali kamu tinggal di gurun” (Yosua 24:7). Kemudian dia berkata, “[Tuhan] memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam” (ayat 13). Yosua mendirikan batu besar untuk mengingatkan orang Israel akan apa yang telah disediakan Tuhan (ayat 26).

Seperti bangsa Israel, selepas suatu masa cabaran dan kekurangan, kini keluarga ini hidup di tempat yang berbeza dan menikmati pokok buah-buahan di halaman yang luas, ditanam beberapa tahun lebih awal oleh pemilik sebelumnya. Jika anda melawat mereka, anda akan mendapati semangkuk buah-buahan di dapur mereka. Ia mengingatkan mereka akan kebaikan Tuhan dan bagaimana seorang anak berusia 3 tahun menyemaikan iman, sukacita, dan perspektif kepada keluarganya.