Kehidupan adalah sukar bagi penduduk yang tinggal di sebuah kawasan berbukit di Wilayah Yunnan China. Sumber utama makanan mereka adalah jagung dan beras. Tetapi pada bulan Mei 2012 kemarau yang teruk melanda rantau ini dan tanaman di sana layu. Semua orang bimbang, dan banyak amalan karut telah dijalankan oleh penduduk yang cuba menamatkan kemarau. Apabila tidak berhasil, orang ramai mula menyalahkan lima orang Kristian di kampung itu yang dituduh menyinggung perasaan roh-roh nenek moyang.

Lima orang Kristian ini berkumpul untuk berdoa. Tidak lama kemudian, langit menjadi gelap dan guruh kedengaran. Hujan lebat turun dan terus mencurah-curah sampai petang dan malam. Tanaman telah diselamatkan! Walaupun kebanyakan penduduk kampung itu tidak percaya bahawa Tuhan yang menghantar hujan, beberapa orang lain percaya dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Tuhan dan Yesus.

Dalam 1 Raja-raja 17 dan 18 kita membaca tentang kemarau teruk di Israel. Tetapi dalam kes ini, kita diberitahu, ia adalah akibat penghakiman Tuhan atas umat-Nya (17:1). Mereka telah mula menyembah Baal, dewa orang Kanaan, dan mempercayai bahawa dewa ini boleh menghantar hujan bagi tanaman mereka. Kemudian Tuhan, melalui nabi-Nya Elia, menunjukkan bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Esa yang menentukan bila hujan turun.

Tuhan kita yang berkuasa ingin mendengar doa-doa kita dan menjawab permohonan kita. Dan walaupun kita tidak sentiasa memahami masa-Nya atau maksud-Nya, namun Tuhan selalu menjawab dengan memberikan yang terbaik untuk kehidupan kita.