Kawan saya Meaghan ialah seorang penunggang kuda yang mahir, dan saya telah belajar beberapa perkara yang menarik tentang kuda daripadanya. Sebagai contoh, walaupun mempunyai mata yang terbesar antara semua mamalia darat, penglihatan kuda lemah dan hanya boleh melihat sedikit warna. Oleh itu, kuda tidak selalu dapat mengenal pasti objek di atas tanah. Apabila melihat sebatang kayu, kuda tidak tahu jika itu kayu yang boleh dilangkahi atau ular besar yang mungkin mematuknya. Atas sebab ini, jika kuda belum dilatih dengan betul, kuda itu akan mudah ketakutan dan cepat lari pergi.
Kita juga mungkin mahu lari daripada keadaan yang membimbangkan. Kita berasa seperti Ayub yang salah faham terhadap masalahnya dan lebih suka dia tidak pernah dilahirkan. Oleh sebab dia tidak dapat melihat bahawa Iblis yang cuba memusnahkannya, dia takut bahawa Tuhan yang dipercayainya cuba membinasakannya. Dalam keadaan tertekan, dia berseru, “Ketahuilah bahawa Allah yang menyalahkan aku. Dia telah memasang perangkap untuk menangkap aku” (Ayub 19:6).
Seperti penglihatan Ayub, penglihatan kita juga terhad. Kita ingin lari daripada situasi sukar yang menakutkan kita. Dari perspektif Tuhan, kita tidak keseorangan. Dia memahami apa yang mengelirukan dan menakutkan kita. Dia tahu kita selamat bersama-sama-Nya di sisi kita. Inilah peluang kita untuk lebih mempercayai pemahaman-Nya daripada pemahaman kita sendiri.