Saya telah memandu hampir setengah jam apabila anak perempuan saya tiba-tiba meraung dari tempat duduk belakang. Apabila saya bertanya, “Apa yang terjadi?” Dia berkata abangnya telah mencengkam lengannya. Abang itu mendakwa dia telah mencengkam lengan adiknya kerana dia telah dicubit oleh adiknya. Adik itu berkata dia mencubit abangnya kerana abangnya yang telah mengatakan sesuatu yang jahat mula-mulanya.
Sedihnya, tabiat ini, yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak, juga boleh muncul dalam hubungan orang dewasa. Seorang menyinggung perasaan orang lain, dan orang yang disakiti membalas dengan kata-kata yang tajam. Orang yang mula-mula menyinggung perasaan membalas lagi dengan kata-kata penghinaan lain. Tidak lama kemudian, kemarahan dan kata-kata kejam pun merosakkan hubungan.
Alkitab mengatakan bahawa “kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang,” dan “kata-kata yang pedas membangkitkan amarah”, tetapi “jawapan yang lembut meredakan kemarahan” (Amsal 12:18;15:1). Dan kadang-kadang tidak menjawab sama sekali adalah cara yang terbaik untuk menangani kata-kata atau komen yang jahat atau kejam.
Sebelum Yesus disalib, ketua-ketua agama cuba membangkitkan kemarahan-Nya dengan kata-kata mereka (Matius 27:41-43). Namun, “Apabila Dia dicerca, Dia tidak membalas dengan cercaan … tetapi Dia mempercayakan diri kepada Allah, Hakim yang adil itu” (1 Petrus 2:23).
Contoh Yesus dan pertolongan Roh menawarkan kepada kita suatu cara untuk bertindak balas terhadap orang yang menyinggung perasaan kita. Apabila kita mempercayai Tuhan, kita tidak perlu menggunakan perkataan sebagai senjata.