Rakan memancing saya memberitahu tentang tasik alp yang terletak tinggi di lereng utara Gunung Jughandle di Idaho. Ada khabar angin bahawa ikan besar jenis cutthroat trout bersembunyi di sana. Kawan saya mendapatkan pensil dan cebisan napkin lalu melukis peta bagi saya. Beberapa minggu kemudian saya mengisi trak saya dengan minyak dan bertolak mengikuti petunjuk arah yang diberikannya.

Petanya itu membawa saya ke salah satu jalan yang paling teruk yang pernah saya lalui! Ia adalah jalan balak lama yang diratakan oleh jentolak melalui hutan dan tidak diperbaiki semula. Di jalan itu terdapat tanah runtuh, kayu jatuh, lubang yang dalam, dan batu-batu besar mendera tulang belakang saya dan membengkokkan besi di bahagian bawah trak saya. Ia mengambil masa beberapa jam pagi itu untuk sampai ke destinasi saya, dan akhirnya setelah tiba saya bertanya kepada diri sendiri, “Mengapakah seorang rakan membuat saya melalui jalan seperti ini?”

Tetapi tasik itu begitu menarik dan ikan di situ memang besar dan kuat menarik! Kawan saya telah meletakkan saya di jalan yang tepat—jalan yang saya sendiri akan pilih dan lalui dengan sabar sekiranya saya mengetahui apa yang ada di hujungnya.

Terdapat satu ayat tentang kesetiaan: “Orang yang mentaati perjanjian dan perintah-Nya, dipimpin dengan kasih dan setia” (Mazmur 25:10). Beberapa jalan yang ditunjukkan Tuhan kepada kita adalah kasar dan lasak bagi kita, yang lain menjemukan dan membosankan, tetapi semua dipenuhi dengan kasih dan kesetiaan-Nya. Apabila kita sampai pada akhir perjalanan kita dan mengetahui apa yang ada di situ, kita akan berkata, “Jalan Tuhan itulah yang paling baik bagi saya.”