Gereja Westminster Abbey di London mempunyai latar belakang sejarah yang kaya. Dalam abad ke-10, biarawan Benedictine memulakan tradisi ibadah harian di sana yang masih berterusan sehingga kini. Gereja ini juga tempat pengebumian ramai orang yang terkenal, dan setiap raja Inggeris sejak tahun 1066 telah ditabalkan di Abbey. Malah, 17 daripada raja-raja ini juga dimakamkan di sana—pemerintahan mereka berakhir di mana ia bermula.

Tidak kira bagaimana hebat pemakaman mereka, raja-raja dunia naik dan turun; mereka hidup dan mangkat. Tetapi seorang raja lain, Yesus, walaupun pernah mati, tidak lagi berada di dalam kubur. Dalam kedatangan pertama-Nya, Yesus telah dimahkotakan dengan duri dan disalibkan sebagai “raja orang Yahudi” (Yohanes 19:3, 19). Kerana Yesus bangkit daripada kematian dalam kemenangan, kita yang beriman dalam Kristus mempunyai pengharapan di sebalik kubur dan mendapat jaminan bahawa kita akan hidup bersama Dia selama-lamanya. Yesus berkata, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?” (11:25-26).

Kita melayani Raja yang sudah bangkit! Semoga kita dengan gembira tunduk kepada pemerintahan-Nya dalam hidup kita sekarang sementara kita mengharapkan ketibaan hari apabila kita boleh berkata, “Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa” akan memerintah untuk selama-lamanya (Wahyu 19:6).