Arie van’t Riet, pakar fizik yang bersara telah mencipta karya-karya seni dengan cara yang luar biasa. Dia mengatur tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang sudah mati dalam pelbagai gubahan kemudian meng-X-ray semuanya. Dia mengimbas gambar-gambar x-ray ke dalam komputer dan kemudian menambah warna pada bahagian-bahagian tertentu gambar-gambar itu. Karya seninya mendedahkan kerumitan dalaman bunga, ikan, burung, reptilia, dan monyet.

Pandangan dalaman sesuatu benda lebih menarik dan lebih penting daripada pandangan luaran. Pada pandangan pertama, Samuel fikir Eliab kelihatan seperti dia boleh menjadi raja Israel yang berikutnya (1 Samuel 16:6). Tetapi Tuhan memberi amaran kepada Samuel agar tidak melihat ciri-ciri fizikal Eliab. Dia berfirman kepada Samuel, “Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati” (ayat 7). Tuhan memilih Daud, bukan Eliab, menjadi raja Israel yang berikutnya.

Apabila Tuhan melihat kita, Dia lebih berminat pada apa yang di dalam hati kita daripada ketinggian kita, dan keadaan jiwa kita daripada struktur muka kita. Dia tidak melihat kita terlalu tua, terlalu muda, terlalu kecil, atau terlalu besar. Dia berfokus pada perkara-perkara yang penting—tindak balas kita kepada kasih-Nya untuk kita dan keprihatinan kita kepada orang lain (Matius 22:37-39). Kitab 2 Tawarikh 6:30 mengatakan bahawa Tuhan sahaja yang mengetahui hati manusia. Apabila Tuhan yang telah melakukan begitu banyak untuk kita melihat hati kita, apakah yang dilihat-Nya?