Di tempat saya tinggal, inilah masanya apabila tumbuhan melawan kematian dengan tetap berada di bawah tanah sehingga keadaannya selamat untuk bertunas lagi. Sebelum salji datang dan tanah membeku, tumbuhan melepaskan keindahan bunganya dan berundur ke tempat berehat dan menjimatkan tenaga untuk musim pertumbuhan yang akan datang. Tumbuhan kelihatannya mati, tetapi sebenarnya tidak mati, hanya tidak aktif. Apabila salji cair dan tanah tidak beku lagi, sekali lagi tumbuhan mengangkat kepalanya ke langit, sambil menyambut Penciptanya dengan warna-warna cerah dan kewangian harum.
Kadangkala musim-musim dalam kehidupan mengharuskan kita masuk ke suatu tempoh yang tidak aktif. Kita tidak mati, tetapi kita mungkin berasa tidak kelihatan. Pada masa-masa seperti itu kita mungkin berasa tidak berguna, dan kita mungkin juga tertanya-tanya sama ada Tuhan akan memakai kita lagi. Tetapi tempoh seperti ini adalah untuk perlindungan dan persediaan kita. Apabila tiba masa yang sesuai dan keadaannya selamat, Tuhan akan memanggil kita sekali lagi untuk melibatkan diri dalam pelayanan dan penyembahan.
Musa mengalami masa seperti ini. Selepas membunuh seorang Mesir yang telah menganiaya seorang Ibrani, Musa terpaksa melarikan diri untuk menyelamatkan hidupnya ke negeri yang jauh di tanah orang Midian (Keluaran 2:11-22). Di situ Tuhan melindunginya dan menyiapkan dia untuk tugasan yang paling besar dalam hidupnya (3:10).
Oleh itu, janganlah patah semangat. Kita sentiasa kelihatan bagi Tuhan.
Dipimpin dan dijaga-Nya, selama di dunia.
Dorothy A. Thrupp