Aktiviti penginjilan gereja kami memuncak dengan ibadah bagi seluruh bandar. Sementara kumpulan yang telah menganjurkan dan mengetuai aktiviti-aktiviti itu—yang terdiri daripada kumpulan muzik belia, kaunselor, dan para pemimpin gereja—berjalan ke atas pentas, kami semua gembira dan bertepuk tangan untuk menyatakan penghargaan bagi usaha keras mereka.

Bagaimanapun, ada seorang lelaki yang hampir tidak kelihatan, namun dia merupakan pemimpin kumpulan itu. Ketika saya bertemu dia beberapa hari kemudian, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah untuk kerjanya dan berkata, “Kami hampir tidak melihat anda semasa program itu.”

“Saya suka bekerja di belakang tabir,” katanya. Dia tidak peduli tentang mendapat pengiktirafan untuk dirinya sendiri. Ia adalah masa untuk mereka yang melakukan kerja itu menerima penghargaan.

Sikap tenangnya seumpama satu khutbah yang lengkap bagi saya. Ia merupakan peringatan bahawa apabila melayani Tuhan, saya tidak perlu mencari pengiktirafan. Saya boleh memberi penghormatan kepada Tuhan sama ada saya dihargai atau tidak oleh orang lain. Sikap yang mengutamakan Kristus boleh menundukkan mana-mana sifat cemburu yang menjengkelkan atau persaingan yang tidak sihat.

Yesus, yang “paling utama” (Yohanes 3:31), “mesti menjadi semakin penting dan aku semakin kurang penting” (ayat 30). Apabila kita mempunyai sikap ini, kita akan mengusahakan kemajuan bagi pekerjaan Tuhan. Kristus yang patut menjadi tumpuan atas segala perkara yang kita lakukan, bukan diri kita.