Jiran-jiran saya mungkin berasa hairan apabila mereka melihat saya berada di luar pada suatu hari yang bersalji. Saya sedang berdiri di laluan masuk rumah dengan memegang penyodok, lalu menyodok dengan kasar segumpalan ais yang telah terbentuk di satu sudut longkang. Setiap kali saya menyodok, saya akan meluahkan kata-kata seperti, “Aku tidak dapat melakukan semua ini.” “Aku tidak ada kekuatan untuk melakukannya.” Sebagai seorang penjaga pesakit yang mempunyai senarai tanggungjawab yang panjang untuk ditangani, tambahan lagi gumpalan ais ini, saya tidak tertahan lagi!
Kemarahan saya tersekat dalam pembohongan. “Saya layak mendapat yang lebih baik berbanding ini.” “Rupanya Tuhan sahaja tidak cukup.” “Tiada sesiapapun yang peduli.” Apabila kita memilih untuk berpaut kepada kemarahan kita, kepahitan akan membelenggu kita sehingga kita tidak dapat melangkah maju ke hadapan. Satu-satunya penawar untuk menangani kemarahan adalah kebenaran.
Sebenarnya, Tuhan tidak memberikan apa yang patut kita terima, sebaliknya Dia berbelas kasihan terhadap kita. “Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang, Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu”(Mazmur 86:5). Sebenarnya, jika dibandingkan dengan segala yang kita lihat, Tuhan adalah lebih daripada mencukupi. Kuasa-Nya nyata sekali pada masa kita lemah (2 Korintus 12:9). Namun sebelum kita menemukan keyakinan seperti itu, kita perlu berundur sedikit, melepaskan penyodok, iaitu kekuatan diri sendiri dan menyambut tangan Yesus yang terhulur kepada kita dengan belas kasihan dan rahmat.
Tuhan cukup besar untuk mendengar kemarahan kita dan cukup mengasihi kita, supaya menunjukkan jalan di hadapan kepada kita tepat pada waktu-Nya.
Shelly Beach merupakan penulis beberapa buah buku, termasuklah Precious Lord, Take My Hand: Meditations for Caregivers (Pegang Tanganku, Ya Tuhan: Renungan Untuk Para Penjaga).