Apabila bekas pemain bola keranjang NBA David Wood bermain untuk pasukan Taugrés de Baskonia (sebuah kelab bola keranjang di Sepanyol), saya ada bersamanya sewaktu Piala Sepanyol dilangsungkan. Sebelum bermulanya salah satu perlawanan, dia membaca Mazmur 144:1: “Pujilah TUHAN, pelindungku! Dia melatih aku untuk bertempur, dan mempersiapkan aku untuk berperang.” Dia berpaling kepada saya dan berkata, “Adakah anda lihat? Ini seolah-olah Tuhan telah menuliskan ayat ini hanya untuk saya! Dia melatih tangan saya untuk menangkap bola melantun dan membuat jaringan!” David berasa terpanggil untuk bermain bola keranjang dan tahu bahawa Tuhan menerima kita dengan seadanya serta memampukan kita melakukan tugas yang dipanggil-Nya.

Kita mudah berfikir bahawa kita kurang berguna bagi Tuhan kerana kita berasa kita tidak mempunyai apa-apa yang dapat dipersembahkan. Sewaktu Tuhan menampakkan diri kepada Musa dan memberitahu dia tentang rancangan pembebasan umat Israel daripada perhambaan di Mesir (Keluaran 3:16-17), Musa berasa dia tidak berupaya untuk memimpin mereka. Maka dia berkata kepada Tuhan, “Aku bukan orang yang pandai berkata-kata … aku lambat bercakap, dan tidak fasih” (4:10). Mungkin Musa mempunyai masalah percakapan atau dia sekadar berasa takut, tetapi Tuhan mengatasi kekurangan Musa dengan kecukupan-Nya. Tuhan berkata, “Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan” (ayat 12).

Apa yang diminta oleh Tuhan daripada kita adalah mengikuti semua rancangan-Nya. Dia akan menguruskan yang lain. Dalam tangan-Nya yang kuat, anda dapat menjadi berkat kepada orang lain.