Satu kumpulan di gereja telah menjemput seorang pembicara untuk berucap dalam pertemuan mereka. “Bercakaplah tentang Tuhan,” kata ketua kumpulan itu kepadanya, “tetapi jangan menyebut Yesus.”

“Kenapa?” orang itu bertanya dengan terkejut.

“Beginilah,” ketua itu memberi penjelasan, “beberapa orang penting antara anggota kami berasa tidak selesa apabila orang bercakap tentang Yesus. Gunakan sahaja ‘Tuhan’ dan semua akan berjalan baik.”

Bagaimanapun, pembicara yang berasa sukar untuk menerima arahan seperti itu berkata kemudian, “Tanpa Yesus, saya tidak ada mesej untuk disampaikan.”

Perkara yang serupa telah berlaku kepada pengikut-pengikut Yesus pada awal sejarah gereja. Pemimpin-pemimpin agama setempat telah bersidang untuk memberi amaran kepada para pengikut supaya mereka tidak berkata tentang Yesus lagi (Kisah Rasul-Rasul 4:17). Namun para pengikut tahu apa yang harus dilakukan. “Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar,” kata mereka (ayat 20).

Orang yang mengaku bahawa dia percaya kepada Tuhan tetapi tidak percaya kepada Anak-Nya Yesus Kristus merupakan pernyataan yang bercanggah. Dalam Yohanes 10:30, Yesus dengan jelas mengatakan hubungan unik di antara Dia dan Bapa-Nya: “Bapa dan Aku satu”—dengan itu menyatakan sifat ilahi-Nya. Oleh itu Dia dapat berkata, “Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga” (Yohanes 14:1). Paulus tahu bahawa Yesus sebenarnya ilahi dan setara dengan Tuhan (Filipi 2:6).

Kita tidak perlu malu dengan nama Yesus, sebab “Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita” (Kisah Rasul-Rasul 4:12).