Seorang kawan saya telah datang ke bandar yang saya tinggal. Dia seorang yang sangat sibuk dengan jadual yang padat, tetapi selepas menghabiskan satu hari yang panjang dalam beberapa mesyuarat, dia dapat berjumpa dengan keluarga saya untuk waktu makan malam yang singkat dan agak lewat selama setengah jam. Kami menyenangi lawatannya tetapi sambil merenung ke pinggan saya berfikir, “Kami hanya mendapat serpihan masanya.”
Kemudian saya ingat Tuhan juga sering mendapat serpihan daripada saya—ada waktunya hanya beberapa minit sebelum saya melelapkan mata untuk tidur.
Daniel seorang yang sangat sibuk. Dia menjawat kedudukan tinggi dalam kerajaan Babilonia kuno dan ini membuatkan dia mempunyai jadual yang sangat penuh. Bagaimanapun, dia telah membentuk kebiasaan yang baik dengan meluangkan masa bersama Tuhan. Daniel berdoa tiga kali sehari, memuji dan bersyukur kepada-Nya. Rutin ini telah membantu dia membangun satu keimanan yang kukuh sehingga dia tidak tergoncang ketika berhadapan dengan penganiayaan (Daniel 6).
Tuhan ingin berhubungan dengan kita. Pada waktu pagi kita boleh mengundang Dia campur tangan dalam kegiatan harian kita, kemudian kita dapat memuji dan meminta pertolongan-Nya sepanjang hari. Pada masa yang lain kita dapat mengambil masa untuk bersendirian dengan-Nya untuk merenungkan kesetiaan-Nya. Apabila kita meluangkan masa dengan Tuhan dalam doa dan firman-Nya, kita akan bertumbuh dalam perhubungan dengan-Nya dan belajar untuk semakin menjadi serupa dengan Dia. Apabila masa dengan Tuhan menjadi satu keutamaan, kita pun semakin menikmati Teman yang setia ini.
