Sahabat yang selalu memancing bersama saya berkata, “Air yang cetek membuat bising,” dan itu mengingatkan saya tentang satu pepatah lama yang berkata, “Air yang mendalam mengalir tenang.” Dia sememangnya bermaksud bahawa orang yang banyak membuat bising biasanya merupakan orang yang cetek pemikirannya sewaktu bercakap.
Di sebalik masalah itu pula adalah kita tidak mendengar dengan baik. Saya teringat seni kata lagu lama Simon dan Garfunkel, Sounds of Silence (Bunyi Senyap), tentang orang yang mendengar tanpa memperhatikan apa yang mereka dengar. Oh, mereka mendengar perkataan-perkataan yang diucapkan tetapi mereka gagal memadamkan bunyi fikiran mereka sendiri untuk benar-benar mendengar. Alangkah baiknya jika kita belajar untuk senyap dan berdiam diri.
Ada “waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur” (Pengkhutbah 3:7). Kesenyapan yang baik adalah kesenyapan yang mendengar, kesenyapan yang rendah hati. Ia membawa kepada pendengaran yang benar, pemahaman yang benar dan percakapan yang benar. “Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam,” kata Amsal, “tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya” (Amsal 20:5). Usaha mendengar yang bersunguh-sungguh diperlukan untuk betul-betul memahami sesuatu keadaan.
Sementara kita mendengar orang lain, kita harus juga mendengar Tuhan dan apa yang mahu dikatakan-Nya. Saya berfikir tentang Yesus yang menulis sesuatu di atas tanah sementara orang Farisi mencerca perempuan yang didapati berzina (lihat Yohanes 8:1-11). Apakah yang sedang dilakukan-Nya? Saya mahu mencadangkan bahawa Dia mungkin hanya mendengar suara Bapa-Nya dan bertanya, “Apakah harus kita katakan kepada orang ramai ini dan kepada perempuan ini?” Jawapan-Nya masih kedengaran di seluruh dunia.