Mungkin anda pernah menonton video tentang seorang budak lelaki yang mendapat tahu bahawa dia akan mendapat seorang adik perempuan lagi. Di pertengahan kekecewaannya dia mengeluh, “Asyik perempuan, perempuan, perempuan!”
Cerita itu memberi sekilas pandangan yang lucu dalam pengharapan manusia, tetapi tidak ada perkara yang lucu dalam kekecewaan. Ia memenuhi dunia kita. Satu cerita dalam Alkitab kelihatan dipenuhi dengan kekecewaan. Yakub bersetuju untuk bekerja selama 7 tahun supaya dapat mengahwini anak perempuan tuannya yang bernama Rahel. Namun setelah dia memenuhi perjanjiannya, Yakub mendapat kejutan pada malam perkahwinannya. Pada pagi yang esok, dia mendapati isterinya bukan Rahel melainkan kakak Rahel, Lea.
Kita berfokus kepada kekecewaan Yakub, tetapi bayangkan perasaan Lea! Apakah harapan dan impiannya yang melenyap pada hari dia dipaksa untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mencintai atau menginginkan dia?
Mazmur 37:4 berkata, “Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu.” Adakah kita mahu percaya bahawa orang yang takut akan Tuhan tidak pernah berasa kecewa? Tidak, Kitab Mazmur dengan jelas menampakkan kepada kita bahawa penulis menyaksikan semua perkara yang tidak adil di sekelilingnya. Bagaimanapun, pemazmur memilih sudut pandangan jangka panjang: “Nantikanlah TUHAN dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak” (ayat 7). Kesimpulannya: “Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini” (ayat 11).
Akhirnya, Lea dihormati oleh Yakub apabila dia dihormati dan dikuburkan dalam tanah perkuburan keluarga bersama-sama dengan Abraham dan Sara, Ishak dan Ribka (Kejadian 49:31). Melalui garis keturunan Lea—yang menganggap dirinya tidak dikasihi—Tuhan memberkati dunia dengan kedatangan Penyelamat kita. Yesus membawa keadilan, memulihkan harapan dan memberikan kita warisan yang jauh melampaui impian kita.