Anak lelaki saya baru sahaja menghadiri taska. Pada hari pertama dia menangis dan berkata, “Saya tidak suka sekolah.” Jadi saya dan suami saya cuba menggalakkan dia. “Walaupun ayah dan ibu tidak menemani anda di sana, tetapi kami akan berdoa untuk anda. Lagipun, Yesus sentiasa menyertai anda.”
“Tetapi saya tidak dapat melihat Dia!” katanya. Suami saya memeluknya dan berkata, “Dia hidup di dalam anda. Dia tidak akan meninggalkan anda bersendirian.” Anak saya menyentuh hatinya dan berkata, “Ya, Yesus tinggal di dalam saya.”
Bukan kanak-kanak sahaja yang menderita daripada kebimbangan akibat perpisahan. Dalam setiap tahap kehidupan, kita berhadapan dengan masa-masa perpisahan dengan mereka yang kita sayangi, kadangkala disebabkan oleh jarak dan ada pula yang disebabkan oleh kematian. Bagaimanapun, kita perlu ingat walaupun kita ditinggalkan oleh orang lain, Tuhan tidak meninggalkan kita. Dia telah berjanji untuk sentiasa bersama dengan kita. Tuhan mengirim Roh kebenaran—Penolong dan Penghibur kita—untuk tinggal dengan kita dan bersatu dengan kita selama-lamanya (Yohanes 14:15-18). Kita adalah anak-anak yang dikasihi-Nya.
Anak saya sedang belajar untuk percaya kepada Tuhan, demikian juga halnya bagi saya. Seperti anak saya, saya tidak dapat melihat Roh Kudus, tetapi saya merasakan kuasa-Nya setiap hari apabila Dia mendorong dan memimpin saya sewaktu saya membaca firman-Nya setiap hari. Mari kita bersyukur kepada pemberian Tuhan yang indah, iaitu Roh Kudus yang menyertai dan bersatu dengan kita. Kita benar-benar bukan bersendirian!